Gayour

MAZLI IBRAHIM adalah nama yang diberikan dan tertulis pada sijil kelahiran gua kira-kira 47 tahun yang lalu. Nama “Gayour” yang gua gunakan sebagai nama pena dalam karya berasal daripada perkataan “Raya” sempena dengan kelahiran gua pada pagi Hari Raya Eid ul Fitr. Dalam sebutan loghat Negeri Sembilan, raya berbunyi “GHAYO”. Itulah asal nama Gayour.

Impian menjadi seorang pelukis bermula sejak gua sedar gua terer melukis (HEH!), masa di bangku sekolah rendah. Dalam mata pelajaran lukisan, gua nombor satu tiada tandingan, pasal tak ada kawan-kawan lain yang boleh melukis. Jadilah gua yang terhebat! (HEH!) Masa tu gua mula rakus melukis komik kisah pendekar, superhero, robot, raksasa dan entah apa-apa lagi dalam buku latihan. Apa yang gua lukis mendapat perhatian dari kawan-kawan dan akibatnya, banyak komik yang gua buat hilang dicuri kawan-kawan! Uuu... uuu... Kejam sungguh diorang!

Secara rasminya gua membuat pengumuman atau pengistiharan mengenai minat dan cita-cita gua pada umum adalah masa gua di tingkatan satu pada hari suai kenal dalam kelas. Setiap pelajar diminta ke hadapan dan memperkenalkan diri serta cita-cita masing-masing. Macam-macam cita-cita yang ‘mainstreamgua dengar. Ada nak jadi guru, doktor, polis, askar, posmen, peguam dan paling hebat nak jadi pilot! Bila sampai giliran gua, gua memperkenalkan diri. Dengan penuh yakin sambil tersengeh-sengeh gua berkata “ gua nak jadi pelukis!” Semua kawan-kawan serentak berkata , “WOOOOOAAAA...”. Satu kerjaya pelik, asing dan tak pernah mereka didengar sebelum ini.

Gua tak rasa malu mahupun menyesal setelah menzahirkan cita-cita besar gua di hadapan kawan-kawan baru serta guru kelas. Bermula dari hari itu, gua tidak berpaling atau ingin mengubah apa yang gua cita-citakan. Gua nekad untuk menjadikan impian itu menjadi kenyataan pada suatu masa nanti. Tahun berganti tahun, dekad bertukar dekad, hari ini gua tak tahulah berapa ramai kawan-kawan gua yang menyebut cita-citanya sebagai juruterbang betul-betul dapat merasa pandu kapal terbang. Gua doakan kejayaan dan kebahagian buat semua kawan-kawan walau apapun kerjaya mereka sekarang. Alhamdulillah dengan izin-Nya dan usaha yang gua lakukan, gua diberikan satu perjalanan karier yang panjang sebagai seorang kartunis sepertimana yang gua impikan. Tiga dekad bukan tempoh yang sekejap, kalau karier melukis gua disamakan dengan usia sebuah band rock, ia dah sampai ke tahap legend dan layak dimasukkan dalam barisan Rock and Roll Hall of Fame. Har har har!

BERSAMA SELAMANYA
Sebelum menyertai majalah UJANG keluaran Kharisma Publications pada penghujung tahun 1993, gua terlebih dulu mencipta nama dengan menyumbangkan karya secara konsisten dalam majalah Geli Hati, sebuah majalah humor yang popular pada tahun 80an. Perjalanan seni gua sebagai pelukis kartun bermula bila karya picisan gua diterbitkan buat pertama kalinya dalam majalah Geli Hati keluaran bulan Mei 1985. Tahun yang sama album-album metal hebat dikeluarkan seperti ‘Hell Awaits, Killing Is My Business... And Business Is Good!, Spreading the Disease, Metal Heart, Feel The Fire, Sacred Heart, Thunder In The East, World Wide Live, Live After Death, The Last Command, Cinta Buatan Malaysia dan kereta nasional pertama, Proton Saga dikeluarkan! Tahun yang sangat penting dalam hidup dan kerjaya gua kerana bermula dari keluaran pertama itulah segalanya berubah!

Masa berkarya di Geli Hati, gua membawa gaya, imej atau identiti rock dalam karya. Cerita-cerita yang gua hasilkan pada peringkat awal adalah berkisahkan dunia rock kerana pada masa itu (1985, muzik rock @ rock mania mula meroboh seluruh dunia! ) Gua mengambil kesempatan dari kegilaan pada muzik rock sebagai bahan ‘candu’ dalam karya gua. Hasilnya, KABOOMMM! Ramai sekali yang meminati karya serta watak-watak Mat Rock yang gua cipta. Masa ni gua menggunakan nama pena GAYOUROCK kerana meraikan ledakan muzik rock dan rock sangat la kononnya. Har har har!

Di majalah UJANG, gua bermula dengan dengan siri pendek berjudul Music Mania yang disiarkan sebanyak tiga keluaran, bermula dari isu 2 majalah UJANG. Menerusi Music Mania, gua bercerita pasal genre muzik yang gua suka., Metal, Doom, Thrash, Death, Black, Punk, Hard Core, Raggae... Gua suka menghasilkan Music Mania kerana memaksa gua untuk melakukan penyelidikan, mencari dan mengumpul bahan rujukan sebanyaknya. Masa tu mana ada Google lagi. Semua kena buat secara manual. Tengok buku, majalah, surat khabar dan kena beli majalah-majalah rock untuk bahan rujukan yang lengkap dan tepat. Tugasan yang gua sangat suka.

(Sumber : http://gayour.blogspot.my)
 

Semasa menghasilkan Music Mania, gua mula memerah otak memikirkan apa cerita yang gua nak buat selepas ini. Yang pasti, gua nak hasilkan satu cerita bersiri yang besar dan hebat! Suatu kisah yang lain, yang dinanti dan dikehendaki oleh peminat kartun tanahair. Bukan kisah cinta picisan yang telah banyak dihasilkan. Dari pemerhatian gua terhadap majalah-majalah humor masa tu, tiada karya hebat apa lagi mengiurkan peminat kartun yang dihasilkan oleh kartunis-kartunis. Gua fedup! Senario lemah dalam majalah humor tempatan mesti dihentikan. Satu kejutan mesti dilakukan dan gua lah yang akan melakukan kejutan itu! Ia adalah satu cabaran tahap kronik yang pernah gua lalui dalam mencari ilham untuk menghasilkan Bersama Selamanya. Satu kisah yang memenuhi selera peminat humor tanahair dan yang pasti ia menggemparkan!

Antara tajuk awal sebelum jadi Bersama Selamanya adalah – Kita Akan Bersama Selamanya, Kita Bersama Selamanya Daripada kerisauan serta ketidakpuashatian, maka terciptalah watak-watak archetype iaitu Amar, Mat Tepet, Din Senget, Dollah serta Pet sebagai watak-watak penting dalam kisah Bersama Selamanya. Watak utama, Amar, sengaja gua reka begitu kerana watak lelaki kacak berambut panjang dengan chooper adalah cara paling mudah untuk menarik minat pembaca terutama peminat perempuan. Siapa melihat watak Amar pasti akan terus jatuh cinta pandang pertama. Hahaha! Hey! Untuk satu kisah yang hebat dan menggemparkan, ia memerlukan satu watak yang menggemparkan! Watak Amar benar-benar jadi kegilaan setelah beberapa keluaran kisah Bersama Selamanya. Tak ketinggalan watak-watak yang lain seperti Mat Tepet yang sangat disayangi oleh pembaca.

(Sumber : http://gayour.blogspot.my)

Inilah yang gua maksudkan dengan ” satu kisah yang besar dan hebat!” Gua percaya, tanpa tema cinta, gua boleh menghasilkan satu karya yang hebat walau hanya bertemakan persahabatan dalam Bersama Selamanya kerana dalam persahabatan adanya kasih dan sayang. Mat Tepet adalah antara watak kesukaan ramai dalam Bersama Selamanya kerana keunikan wataknya dan perangainya yang gila-gila berbanding watak-watak lain. Ada peminat yang beranggapan bahawa watak Mat Tepet terlalu menjengkelkan. Pada gua, begitulah hakikat dalam persahabatan, kita dipertemukan dengan kawan-kawan yang pelbagai ragam perangai. Mat Tepet mewakili kawan-kawan kita yang gila-gila dan tak senonoh perangainya. Sama ada suka atau tidak, watak beginilah yang paling mudah kita ingat dan yang akan kita rindu selamanya. Kebenaran ini gua masukkan dalam Bersama Selamanya.

Watak Lin, awek cun berambut kerinting yang korang minat tak ingat tu secara jujur gua cakap, wujudnya bukan kehendak gua. Sejak karya ini masih lagi cebisan fragment dalam kepala gua sehinggalah ianya dizahirkan ke atas helaian kertas, telah gua putuskan untuk tidak mewujudkan watak heroin demi tema dan persoalan utama Bersama Selamanya – persahabatan, bukan cinta. Namun atas beberapa faktor yang gua tak boleh nak elak, akhirnya pada siri ke-7 Bersama Selamanya gua akur dan memperkenalkan kemunculan watak Lin buat pertama kali. Kemunculan Lin juga adalah sebagai perkembangan plot yang kemudiannya menjadi salah satu punca persengketaan antara Amar dengan Joe.

(Sumber : http://gayour.blogspot.my)
 

Antara sebab gua memasukkan watak Lin adalah untuk meraikan peminat-peminat perempuan yang makin ramai mengikuti dan meminati kisah Bersama Selamanya ketika itu. Selain itu, gua juga ingin menambah dimensi baru pada watak Amar dengan mewujudkan apa yang boleh dikatakan sebagai “love interest” beliau. Cuma apa yang gua terkilan adalah bila Lin diperkenalkan, rata-rata minat pembaca ( lelaki terutamanya ) beralih kepada watak itu. ARGHHHHH! Mereka nak tahu apa kesudahan perhubungan antara Amar dengan Lin yang agak mengganggu fokus awal Bersama Selamanya iaitu persahabatan.

Hey! diulangi, Bersama Selamanya bukan pasal cinta!
Apapun, bukanlah bermakna yang gua tak suka dengan watak Lin. Watak Lin memberi gua peluang untk melakukan suatu kejutan dan tindakan yang belum pernah dilakukan oleh kartunis lain dalam karya mereka. Antara momen penting dalam Bersama Selamanya adalah bila mana Lin tampil dengan bertudung yang mengejutkan Amar, kawan-kawan serta pembaca masa itu. Walau ia satu tindakan kecil tapi cukup ‘besar ‘ kesannya. Ia sebagai satu penegasan dan tanggungjawab gua sebagai pengkarya beragama Islam. Kesempatan dari populariti Bersama Selamanya gua manfaatkan untuk berdakwah.

Gua meneliti dan mengkaji watak apakah yang tidak pernah dibuat secara serious oleh kartunis lain dalam karya mereka dan ia bukan watak yang biasa. Maksud gua dari segi fizikal. Gua nak menjadikan kisah Bersama Selamanya terus besar dan hebat dengan kemunculan watak baru. Dari komik US ( Imej Comic ) yang gua tengok, dalam team superhero yang mereka cipta, mesti ada satu watak badan bagak. DENG! Terciptalah watak Pet bertubuh bagak dan sasa. Seperti watak Lin, Pet juga jadi sangat popular. Dia ada personaliti tersendiri yang sangat kuat dan menyerlah. Kerana itu ia diminati. Inilah yang gua mahu dan peminat mahu dalam Bersama Selamanya- ada muzik metal, motor besar, bodybulider, awek cun...

Menyorot sepintas lalu pada karya ini, Bersama Selamanya boleh gua katakan adalah karya bebas terhebat pernah gua hasilkan. Tapi apa yang paling hebat, manis dan mengharukan adalah ‘ikatan kasih sayang’ sehingga kini antara gua dengan peminat-peminat tegar Bersama Selamanya. Ke mana gua pergi bila bertemu peminat, mereka berkata, ‘Bro Gayour, Bersama SelamanyaKILLKILLKILL! DIEDIEDIEE! Gua sungguh terharu kerana setelah lebih 20 tahun, masih ramai yang ingat, bertanya dan mencari koleksi Bersama Selamanya. Bersama Selamanya menghimpunkan segala jati diri gua dari sekecil-kecil minat sehinggalah sebesar-besar pengaruh pada diri gua.

Sebagai peminat tegar muzik metal, mengabadikan nama-nama band seperti Black Sabbath, Diamond Head, Judas Priest, Iron Maiden, Venom, Mercyful Fate, Slayer, Metallica, Manowar , Death dan lain-lain bersama bait-bait lirik lagu mereka ke dalam karya adalah antara perkara yang sangat mengujakan. Bukan saja gua tapi juga peminat Bersama Selamanya kerana itu yang peminat mahu! Melihat nama serta lagu band metal pujaan mereka ditulis dan gunakan. Inilah yang gua beri dalam Bersama Selamanya selain motor chooper yang sentiasa mengujakan! Kerana metal dan chooper memang gandingan mantap, seiring dan sejalan. Peminat metal pasti teruja melihat video Judas Priest dan Manowar menunggang Harley Davidson atas pentas. Hahaha! Kerana itu gua gunakan motor chooper ( easy rider ) bukan superbike. Ini antara sebab mengapa Bersama Selamanya sangat diminati dan berjaya dalam majalah UJANG pada tahun 90an dahulu.

Bersama Selamanya mewakili sebahagian besar diri gua sebagai seorang kartunis. Seperti judulnya, ia melambangkan persahabatan dan hubungan sesama insan, sama ada hubungan gua dengan peminat mahu pun hubungan peminat dengan gua atau hubungan kita dengan sesiapa saja. Gua memberi sepenuh tenaga, disiplin dan kesungguhan semasa menghasilkan Bersama Selamanya. Ia bukan satu tugasan serta cabaran yang mudah. Ia benar-benar memenatkan. Setelah lebih 20 tahun, bila gua melihat semula karya Bersama Selamanya, gua menggeleng kepala dan hampir tidak percaya dengan hasil lukisan gua dalam Bersama Selamanya. Gila! Itu yang boleh gua kata. Semua boleh tengok hasil seni lukisan gua yang bekembang serta konsisten dari mula hingga tamat. Itulah disiplin dan komitmen tertinggi gua!

Terima kasih atas sokongan, perhatian dan minat yang diberi selama ini. Gua sangat menghargai. Moga semua diberkati dan dirahmati Allah sentiasa.
Bersama Selamanya kini menjadi penghubung dan ikatan kasih sayang antara kita.
Terima kasih juga diucapkan kerana membeli koleksi Bersama Selamanya

Wassalam
Bersama Selamanya
Gayour
1437H2015

32 FAKTA PASAL BERSAMA SELAMANYA

1. Antara tajuk awal sebelum jadi Bersama Selamanya adalah – Kita Akan Bersama Selamanya, Kita Bersama Selamanya

2. Skrip Bersama Selamanya ditulis dengan tangan dalam buku diari tahun 1994 dan yang telah tamat tempoh

3. Siri Bersama Selamanya mula diterbitkan dalam majalah UJANG No. 05 keluaran 15 April 1994 sehingga keluaran 15 April 2001. Siri ini telah diterbitkan selama tujuh tahun bersamaan 2555 hari!

4. Cerita, skrip dan watak semua dicipta sepenuhnya oleh Gayour.

5. Nama-nama watak diambil dari nama kawan-kawan serta ahli keluarga. Amar dan Lin adalah nama anak buah Gayour. Mat Tepet dan Pet adalah nama yang diambil dari kawan-kawan. Nama Din Senget, Dolah, Joe serta Mail The Skeleton (Black Metal) diberi oleh Gayour

6. Kisah Bersama Selamanya berjumlah 564 mukasurat dari siri satu hingga tamat. Sebanyak 564 helai kertas Radio Bond bersaiz A3 telah digunakan untuk melukis cerita Bersama Selamanya dalam hitam putih sepenuhnya

7. 564 helai kertas overlay juga digunakan untuk menulis skrip, dialog, sound effect, muka surat dan arahan-arahan lain.

8. Lebih dari 15 batang brush jenama Winsor & Newton saiz 0.2 dan 0.3 telah digunakan dalam proses melukis.

9. Berpuluh-puluh mata pen celup telah rosak digunakan dan ditukar

10. Hampir 50 botol black drawing ink jenama Pelikan telah habis licin digunakan dalam proses melukis!

11. Brush, pen celup, teknikal pen serta drawing pen pelbagai jenis digunakan sebagai alatan melukis.

12. Tidak terkira banyaknya pemadam habis digunakan untuk memadam lakaran pensil.

13. Teknikal pensil 0.5 digunakan dalam proses melakar. Tak ingat berapa batang telah rosak digunakan.

14. Pada awalnya, mata ( leads )teknikal pensil yang biasa digunakan sebelum beralih kepada mata pensil biru (blue leads ) kerana tak larat nak memadam! Bila gunakan mata biru, tak perlu padam lagi lakaran. Yeahoooo!

15. Majalah Metal Hammer, Kerrang, Faces of Rock, majalah motor, rumah, kereta, taman hiasan, bangunan dan pelbagai majalah yang berkaitan telah digunakan sebagai rujukan.

16. Lirik lagu dari band Black Sabbath, Judas Priest, Rainbow, Aerosmith, Venom, Mercyful Fate, Metallica, Slayer, Suicidal Tendencies, The Exploited, Sex Pistol, Ramones, Cannibal Corpse, Cinderella dan bermacam lagi lagu telah digunakan dalam Bersama Selamanya.

17. Dalam siri pertama Bersama Selamanya, Amar menggunakan gitar Kramer sebelum bertukar kepada gitar Gibson sepenuhnya kerana Gibson lebih cool!

18. Amar pergi ke USA adalah untuk belajar dan praktikal di resort kepunyaan pak ciknya di Florida. Amar hanya ada sijil tahap Diploma sahaja. Tak la pandai atau hebat manapun!

19. Mat Tepet dengan Dolah adalah rakan sekampung. Din Senget adalah rakan baik dari kampung sebelah. Mereka bertiga bersekolah di sekolah yang sama.

20. Sejak dari kampung mereka telah menubuhkan band rock dan bermain di majlis kenduri kawin dan juga Fun Fair.

21. Pet adalah seorang bodybulider profesional dan juga coach di gym.

22. Mail The Skeleton adalah kawan sekampung Mat Tepet dan Dolah.

23. Nama band meavy metal mereka pada awalnya adalah GRIP sebelum bertukar menjadi FOREVER.

24. Sepanjang menghasilkan Bersama Selamanya, bukan setiap masa Gayour melayan lagu-lagu metal, Gayour juga sangat menyukai ceramah-ceramah bersiri dari Ustaz Datuk Haji Shamsuri Ahmad semasa melukis Bersama Selamanya.

25. Kisah Bersama Selamanya pernah diterbitkan untuk beberapa siri dalam majalah Varia Lawak sebelum diterbitkan semula dalam majalah UJANG.

26. Siri Bersama Selamanya musim baru telah disambung ( dalam warna ) dalam majalah Bules Selamanya sehingga siri ke 42.

27. Satu siri komik pendek sebanyak 10 muka surat berwarna yang bertajuk BERSAMA SELAMANYA- GENERASI PERTAMA telah diterbitkan dalam majalah Blues Selamanya Special Edition. Kisah nenek moyang watak Bersama Selamanya di zaman purba. Watak Panglima Merah Saga adalah Amar, Din Seget adalah Beringin Rendang, Jati Tunggal adalah Mat Tepet, watak Buluh Kuning adalah Dollah dan Panglima Badang Ungu adalah Pet.

28. Dalam musim baru ini ia lebih kepada kisah keluarga serta aktiviti santai watak-watak utama Bersama Selamanya bersama keluarga masing-masing di kampung dan bandar.

29. Masa menghasilkan kisah ini, hampir semua rakan kartunis mengutuk, “Bila cerita ni nak habis? Lawan saja bertahun-tahun!”. Ia sangat menjengkelkan. Harharhar!

30. Dollah bukanlah seorang hippies walaupun dia mengenakan fesyen hippies. Watak Dollah adalah tribute Gayour pada kawan-kawan dia kat kampung yang suka berfesyen hippies- seluar jeans lusuh boot cut, rambut cakar tengah, kasut koboi, baju kurta serta rantai logo Peace.

31. Adegan perlumbaan motor chooper antara Amar dengan Joe bukanlah karya pertama Gayour. Sebelum ini Gayour telah menghasilkan sebuah drama bersiri tiga episod dalam majalah Geli Hati pada tahun 1988 yang bertajuk “Lumba Haram”. Kisah zaman ala Mad Max gitu.

32. Tag Line KILLKILLKILL! DIEDIEDIEEE! yang sangat popular di kalangan peminat tegar Bersama Selamanya dicipta untuk adegan pergaduhan brutal antara Amar dengan Joe. Ia adalah suara atau efek latar belakang bertujuan untuk memberi impak besar dalam adegan itu. Idea asal adalah dari lagu Metallica, ‘Creeping Death‘. Tak sangka ia jadi tag line yang popular!