Bermula pada 1989, Allahyarham bertugas di unit grafik Berita Harian sehingga persaraan beliau pada 2014, ketika masih menyandang jawatan Ketua Unit Grafik akhbar itu. Walaupun sibuk dengan tugasan grafik, Zoy masih berkesempatan berkarya menghasilkan komik Takluk Jagat yang dimuatkan dalam sisipan akhbar Berita Mingguan dan sempat tersiar sehingga ke akhir hayat beliau.
Allahyarham juga pernah menyumbangkan karya di majalah UJANG dan APO? sekitar awal 2000. Sebagai mengenang jasa beliau dalam industri komik tanahair, pihak BEKAZON mengambil inisiatif mengumpulkan karya berjudul RANJAU dan beberapa karya pendek beliau yang pernah mengisi majalah APO? ketika di tahun-tahun awal penerbitan majalah itu, dan dibukukan menjadi naskah kompilasi ini.